Persepsi Pelajar Terhadap Keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran Ilmu Tajwid: Analisis terhadap Sekolah Tahfiz Swasta di Selangor

  • DR. ZAINORA DAUD DR.ZAINORA

Abstract

Tuntutan membaca al-Quran secara bertajwid merupakan tanggungjawab setiap Muslim. Kurikulum pendidikan ilmu tajwid yang dipelajari di Sekolah-sekolah Tahfiz difokuskan dalam bentuk teori dan praktikal berkisarkan makhraj, sifat huruf, hukum nun mati serta tanwin, hukum mim mati, mad dan sebagainya. Objektif kajian ialah untuk mengenal pasti latarbelakang pelajar dan menganalisis tahap keberkesanan responden di dalam pengajaran dan pembelajaran ilmu tajwid. Responden kajian ini terdiri daripada 210 orang pelajar di sembilan buah sekolah tahfiz swasta di bawah PITAS, Selangor. Data-data kuantitatif dianalisis dengan menggunakan peratusan, kekerapan, min dan sisihan piawai berdasarkan Statistical Package for the Social Science (SPSS) versi 20.0. Reka bentuk kajian yang digunakan adalah berbentuk kuantitatif bersifat deskriptif melalui kaedah tinjauan semasa dengan menggunakan metode soal selidik lima pilihan berskala likert. Data-data juga disokong dengan instrumen temu bual semi struktur, pemerhatian dan ujian tilawah al-Quran. Kesemua instrumen pengutipan data telah disahkan kandungannya oleh panel rujukan pakar. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran ilmu tajwid dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah tahfiz swasta Selangor adalah tinggi (min = 4.04, p = 0.85), manakala skor min bagi domain pelaksanaan terhadap kaedah pengajaran dan pembelajaran ilmu tajwid adalah sederhana tinggi (min = 3.60, p= 0.73). Ini menunjukkan responden mempunyai kefahaman yang tinggi terhadap penguasaan ilmu tajwid, tetapi perlu kepada penambahbaikan dari aspek Mad Asli, Mad Far’ie, dan Bacaan Imam Hafs berdasarkan hasil keputusan ujian tilawah al-Quran dan hasil temubual. Manakala bagi domain amalan kaedah-kaedah pengajaran dan pembelajaran yang diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran ilmu tajwid di sekolah-sekolah tahfiz swasta juga berada di tahap baik tetapi masih perlu perhatian dan pemurniaan secara berterusan terhadap kaedah syarahan, praktikal dan amali, ujian lisan, papan hitam, buku rujukan, kuiz, soal jawab dan pembentangan. Kesimpulannya penguasaan ilmu tajwid yang cemerlang dalam al-Quran memberi implikasi yang positif dalam tilawah, tahfiz dan tadabbur ayat-ayat al-Quran sehingga mampu membentuk peribadi Mukmin yang kamil

.

Published
2018-12-11
Section
Articles