PENDIDIKAN ISLAM PEMANGKIN MODAL INSAN OKU MUSLIM

  • Izuli Dzulkifli UKM
  • Asmawati Suhid

Abstract

Modal insan yang seimbang dari aspek fizikal dan spritual merupakan aset terpenting dalam pembangunan sesebuah negara. Dahulunya golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dianggap sebagai golongan yang tidak mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan cuma mengharap belas ihsan semata-mata. Namun kini, pandangan tersebut tidak lagi relevan, bahkan golongan OKU tidak boleh ketinggalan dalam membangunkan negara walaupun mereka mengalami ketidakupayaan dari sudut fizikal dan pancaindera. Ketidakupayaan mereka tidak boleh disamakan seperti insan tipikal yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara melalui kemahiran fizikal dan intelektual. Justeru, kertas kerja ini memfokuskan aspek yang mampu dicapai oleh OKU Muslim untuk menjadi modal insan dalam pembangunan negara. Aspek utama yang perlu dibangunkan bagi menghasilkan modal insan OKU Muslim adalah aspek spiritual dan rohani melalui Pendidikan Islam. Matlamat Pendidikan Islam bukan sahaja memupuk keimanan kepada Tuhan, bahkan membentuk akhlak, sikap serta nilai-nilai murni bagi OKU Muslim. Matlamat tersebut amat penting supaya mereka mampu mengharungi cabaran perkembangan dunia pada masa hadapan. Melalui pembangunan spiritual dan rohani, mereka juga sentiasa bersemangat dan berusaha memajukan diri walaupun mengalami kepelbagaian ketidakupayaan. Sebagai langkah dan strategi untuk membangunkan modal insan OKU Muslim, seharusnya urus tadbir Pendidikan Islam bagi golongan tersebut perlu diperkasakan. Penyesuaian kurikulum, penghasilan tenaga pengajar mahir, kebolehaksesan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan perlu dipertingkatkan bagi memastikan matlamat pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam bagi OKU Muslim tercapai.

Published
2018-12-01
Section
Articles